Friday, October 8, 2010 | By: يورحامي يوسف

HUBUNGAN (SEKS) 'RINGAN'

SOALAN:
Kawan saya sudah mempunyai teman lelaki. Menurutnya, dia pernah tidur sekatil dengan teman lelakinya tetapi tidak melakukan seks 'berat' tetapi sekadar 'ringan-ringan'. Alhamdulillah sekarang dia telah memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut dan bertaubat.

Adakah berdosa apabila seorang lelaki dan perempuan tidur sekatil tanpa melakukan hubungan seperti suami isteri tetapi hanya melakukan 'ringan-ringan'?
Hubungan seperti ini dipanggil hubungan apa?
Apabila ingin berkahwin, adakah dia perlu memberitahu kepada bakal suaminya?
Adakah dia perlu memberitahu kepada bakal tunang bekas kekasihnya itu?

JAWAPAN:

Pertama, sewajarnya seluruh umat Islam perlu ketahui bahawa tidak ada kebenaran daripada syarak membenarkan seks ringan atau seks berat. Apa sahaja yang digelar hubungan dan perkara yang boleh menjerumuskan diri ke arah zina tetap diharamkan. Selagi tidak bergelar suami dan isteri, haram lelaki dan wanita berdua-duaan sambil berpegangan tangan. Apatah lagi tidur sekatil.

ALLAH Maha Pengampun selagi hamba-hamba-NYA bertaubat. Sebesar mana dosa yang dilakukan sama ada zina, minum arak, mencuri dan sebagainya pasti diampunkan kecuali syirik. Firman ALLAH S.W.T:

 "Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutuka-NYA dengan sesuatu pun dan akan mengampunkan dosa selain kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA (menurut peraturan hukum-hukum-NYA) dan sesiapa yang mempersekutukan ALLAH dengan sesuatu pun, sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh." – Surah al-Nisa': 116.

Kedua, seseorang tidak perlu membuka aibnya setelah ditutup oleh ALLAH. Malah, Nabi s.a.w melarang seseorang membuka iab saudara seagamanya. Si suami wajib menjaga keaiban isteri setelah mengetahuinya. Begitu juga sebaliknya, si isteri wajib menutup keaiban suaminya setelah mengetahui keiaan suaminya. Apalah hak seorang manusia untuk memarahi dan tidak mahu menerima takdir ALLAH baginya. Sedangkan, seorang wanita yang telah bertaubat diterima oleh ALLAH. Patutkah hamba ALLAH tidak mahu menerimanya.

Ketiga, kawan saudari tidak wajar memporak-purandakan keadaan. Bertaubatlah kepada ALLAH kerana DIA telah menjaga keaiban saudari dan bekas teman lelakinya itu daripada pengetahuan umum. Jagalah keaiban itu dan jangan cuba dibukanya. Semoga ALLAH merahmati mereka berdua kerana telah bertaubat.
 Wallahu a'lam.



0 comments:

Post a Comment